RUU tangani judi dalam talian dirangka

KUCHING: Kerajaan sedang merangka Rang Undang-Undang (RUU) baharu dalam usaha membendung peningkatan kegiatan judi dalam talian di negara ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Amar Fadillah Yusof berkata, untuk itu kertas cadangan kini di peringkat penelitian dan dijangka dibawa ke Parlimen pada sidang akan datang sekiranya belum dapat dikemukakan dalam persidangan kali ini.

“Kerajaan memberi keutamaan kepada penilaian menyeluruh agar pendekatan perundangan yang dipilih benar-benar berkesan serta selari dengan keperluan semasa.

“Kerajaan memberi keutamaan kepada penilaian menyeluruh agar pendekatan perundangan yang dipilih benar-benar berkesan serta selari dengan keperluan semasa.

“Kalau tidak dibendung, ia boleh menjejaskan dari segi kesejahteraan sosial terutamanya generasi muda,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyerahkan geran bantuan kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Petra Jaya di Akademi Kastam Malaysia di sini, hari ini.

Sejumlah 87 JKKK menerima geran yang membabitkan jumlah keseluruhan RM261,000.

Setiap JKKK menerima RM3,000 untuk membantu JKKK dalam kawasan Parlimen P194 Petra Jaya melakukan aktiviti tahunan.

Bagaimanapun, Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata, setakat ini belum diputuskan sama ada RUU itu dinyatakan sebagai akta baharu atau dimasukkan sebagai pindaan dalam undang-undang jenayah siber sedia ada.