KUCHING: Kerajaan Sarawak yakin Tahun Kuda 2026 yang mengikut kepercayaan kaum Cina akan membawa kejayaan kepada inisiatif-inisiatif strategik Sarawak.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, ini termasuk AirBorneo, Pelabuhan Bintulu, FTES, khidmat ART, grid letrik dan potensi kerjasama dengan Indonesia.
“Saya yakin Tahun Kuda 2026 akan membawa kejayaan kepada inisiatif strategik termasuk pengembangan destinasi AirBorneo kepada destinasi serantau dan pengoperasian Pelabuhan Bintulu,” katanya dalam perutusan Tahun Baharu Cina 2026.
Beliau berkata, Pelabuhan Bintulu telah dikembalikan kepada Sarawak oleh Kerajaan Persekutuan, sebagai pelabuhan utama Sarawak.
Di samping itu, katanya pelaksanaan Skim Pendidikan Tinggi Percuma (FTES) yang bermula pada tahun ini adalah titik permulaan kepada pembangunan sumber manusia.
Katanya, FTES akan memberi peluang kepada semua Anak Sarawak untuk melengkapkan diri mereka untuk menjadi aset yang amat berguna kepada Sarawak.
“Selain itu, pada suku terakhir Tahun 2026, jika tidak ada aral melintang, bandaraya Kuching akan mendapat khidmat ART yang dikuasakan oleh hidrogen pertama di rantau ini,” tambahnya.
Beliau berkata, inisiatif ini mencerminkan ikhtiar Sarawak untuk menjadi pelopor dan pemimpin ke arah ekonomi dan teknologi rendah karbon di rantau Asean.
Abang Johari berkata, permulaan 2026 sudah pun menyaksikan kejayaan Sarawak untuk menyambungkan grid letrik Sarawak dengan grid Sabah bagi menyalurkan 50 MW tenaga letrik ke Sabah.
Menurutnya, ini penyambungan grid lintas batas yang kedua selepas penyaluran tenaga letrik hijau sebanyak 190 MW ke 200 MW ke Kalimantan Barat sejak 2016.
“Dengan penyambungan ke grid Brunei, maka akan wujud grid Borneo yang memanfaatkan tenaga hijau dari Sarawak,” jelasnya.
Tambahnya, 2026 juga membawa potensi kerjasama yang lebih erat antara Indonesia dan Malaysia, khususnya Sarawak, dari segi penjanaan dan penyaluran tenaga
hijau lintas batas, dan juga pembangunan teknologi tinggi.
Beliau berkata, ini dinyatakan dua minggu lalu ketika menghadiri Sidang Kemuncak Ekonomi Indonesia 2026 kerana Sarawak sudah menampakkan kejayaan dalam bidang ini.
