KUCHING: Kerajaan Sarawak terus memperkukuhkan pembangunan bola sepak negeri sebagai usaha melahirkan lebih ramai pemain profesional dalam kalangan anak tempatan.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, sokongan berterusan terhadap penganjuran liga dan pertandingan di peringkat negeri merupakan platform terbaik untuk mencungkil serta menggilap bakat muda Sarawak.
Menurut beliau, Liga Premier Sarawak yang diperkenalkan menjadi medan penting dalam usaha membina ekosistem bola sepak yang lebih tersusun dan kompetitif.
Jelasnya lagi, komitmen berterusan kerajaan negeri dalam memperkasakan pembangunan sukan, khususnya bola sepak, mampu menjadi pemangkin dalam melahirkan bakat baharu, untuk mengangkat nama Sarawak di persada bola sepak negara.
“Liga ini akan terus disokong kerana kita mahu melihat lebih ramai bakat anak Sarawak muncul sebagai pemain bola sepak profesional pada masa hadapan,” katanya ketika berucap semasa menyaksikan perlawanan akhir Piala Premier Sarawak di Stadium Negeri, di sini, hari ini.
Perlawanan akhir edisi sulung itu menemukan Samarahan FA dan Bintulu FA, dengan kemenangan berpihak kepada Bintulu FA, 3-1.
Dalam pada itu, beliau turut merakamkan ucapan tahniah kepada Kuching City FC atas kejayaan mara ke separuh akhir Piala Malaysia selepas menyingkirkan DPMM FC, sekali gus membuktikan kemampuan pasukan dari Sarawak bersaing di pentas nasional.
Sementara itu, Presiden Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS), Dato Fazzrudin Abdul Rahman memaklumkan pertandingan yang bermula September 2025 itu menghimpunkan 13 pasukan, melibatkan enam pasukan dari Zon Utara dan tujuh dari Zon Selatan.
Empat pasukan teratas setiap zon layak ke peringkat akhir sebelum aksi kemuncak menyaksikan pertembungan antara wakil Samarahan dan Bintulu.
