Masyarakat Cina teruskan peranan bantu memaju, mensejahterakan Sarawak

KUCHING: Komuniti perniagaan terutama masyarakat Cina perlu terus bekerjasama memastikan kesejahteraan rakyat Sarawak pada Tahun Baharu Kuda 2026 yang akan disambut esok.

Yang di-Pertua Negeri, Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, ini kerana Kerajaan Sarawak akan terus berusaha memacu pertumbuhan ekonomi wilayah dan negara serta memastikan kemakmuran dapat dinikmati secara adil setiap lapisan masyarakat termasuk golongan B40 dan M40.

“Oleh itu, adalah penting agar semua pihak, terutamanya komuniti perniagaan, terus bekerjasama dan berganding bahu dengan semua pihak untuk memastikan kesejahteraan rakyat Sarawak,” katanya.

 Beliau berkata demikian dalam perutusan Tahun Baharu Cina 2026 dan bersama isteri Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi serta mengucapkan Selamat Tahun Baharu Cina kepada seluruh komuniti Cina di Sarawak.

TYT berkata, masyarakat Cina di Sarawak telah lama memainkan peranan penting dalam kemajuan Sarawak dan menjadi tulang belakang banyak sektor ekonomi termasuk perdagangan, pertanian, pertanian komersil, perusahaan moden, perniagaan kecil dan sederhana (PKS), serta pelaburan.

“Umumnya, masyarakat Cina juga memainkan peranan yang signifikan dalam pelbagai sektor seperti politik, pendidikan, dan sosial yang menjadi faktor utama kepada kejayaan dan kemajuan Sarawak,” tambahnya.

Selain itu, katanya sejajar matlamat Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS 2030)
terdapat beberapa bentuk bantuan dan sokongan disediakan Kerajaan Sarawak kepada komuniti Cina, terutamanya dalam aspek pendidikan, sosial dan kebajikan.

Beliau berkata misalnya pada tahun 2024, Kerajaan Sarawak pimpinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg memperuntukkan sekitar RM22 juta kepada sekolah aliran Cina di wilayah ini iaitu RM12 juta untuk Sekolah Rendah Bantuan Cina dan RM10 juta untuk Sekolah Menengah Bantuan Cina.

“Ini merupakan peningkatan daripada RM9 juta kepada RM12 juta bagi sekolah rendah berbanding tahun sebelumnya,” tambahnya.

Menurutnya, Kerajaan Sarawak juga terus mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) bagi membolehkan pelajar sekolah Cina melanjutkan pelajaran di universiti milik Sarawak yang dirancang diberikan secara percuma tahun ini.

Di samping itu, Kerajaan Sarawak turut melaksanakan Program Sejambak Kasih Tahun Baru Cina untuk meringankan beban kewangan keluarga berpendapatan rendah dalam kalangan komuniti Cina.

Selain itu bantuan kewangan melalui Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR), Jabatan Premier Sarawak untuk projek naik taraf infrastruktur dan pembinaan rumah ibadah dan tokong-tokong Cina di seluruh Sarawak.