Sarawak perhebatkan kesiapsiagaan hadapi Monsun Timur Laut

KUCHING: Kerajaan Sarawak mempertingkatkan tahap kesiapsiagaan bagi menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) termasuk kemungkinan berlakunya banjir besar seperti tahun lalu.

Menurut Timbalan Premier Sarawak merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS), Datuk Amar Douglas Uggah Embas, semua aset dan agensi terlibat digerakkan secara bersepadu.

Beliau berkata, semua Jawatankuasa Pengurusan Bencana di peringkat Bahagian dan Daerah diarahkan supaya bersedia dari segi tenaga kerja, jentera dan kelengkapan.

Selain itu, beliau turut meminta jabatan-jabatan seperti Jabatan Kerja Raya Sarawak dan Jabatan Pengairan dan Saliran (DID) supaya memerhatikan mana-mana kawasan yang rosak akibat tanah runtuh atau jalan putus.

“Keadaan ini memang berlaku setiap kali musim hujan di beberapa tempat maka kita ingin memberi arahan supaya semua agensi bersiap siaga dengan tenaga kerja, jentera dan kelengkapan masing-masing,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melawat Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Masjid Darul Istiqlal yang menempatkan 65 mangsa membabitkan 18 keluarga hari ini.

Dalam masa sama, beliau menggesa penduduk di kawasan berisiko banjir supaya sentiasa bersedia, mematuhi arahan pihak berkuasa dan segera berpindah sekiranya diarahkan demi keselamatan diri dan keluarga.

Tambahnya, jawatankuasa yang diketuai Unit Keselamatan dan Penguatkuasaan Sarawak (UKPS) terus memantau situasi semasa, manakala Pasukan Tindak Balas Kecemasan Komuniti di kampung-kampung digesa bermesyuarat dan bersiap siaga.

Turut hadir Timbalan Menteri Utiliti (Sarawak Energy dan PETROS) Datuk Ibrahim Baki, ketua-ketua jabatan serta wakil agensi kerajaan di bawah JPBNS.