KOTA SAMARAHAN: Cadangan penambahan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak daripada 82 kepada 99 kerusi kini masih menunggu kelulusan di peringkat Parlimen sebagaimana diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan.
Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, Dato’ Idris Buang berkata, resolusi berhubung perkara tersebut diluluskan di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak dan kini bergantung kepada proses seterusnya di peringkat Persekutuan.
“Sarawak semakin meningkat dari segi populasi dan keperluan pembangunan. Kawasan kita luas, masih banyak luar bandar memerlukan pembangunan prasarana seperti jalan raya, hospital, sekolah dan lain-lain.
“Apabila jumlah wakil rakyat ditambah kepada 99 kerusi, agihan pembangunan akan lebih seimbang dan memberi impak lebih menyeluruh kepada rakyat,” katanya selepas Majlis Perasmian Bazar Ramadan di sini hari ini.
Beliau menegaskan tiada alasan untuk cadangan tersebut ditolak sekiranya kajian oleh Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) dibuat secara menyeluruh dan profesional.
Menurutnya, keputusan berhubung perkara itu memerlukan keikhlasan serta pertimbangan sewajarnya daripada Ahli Parlimen demi kepentingan rakyat Sarawak secara keseluruhan.
Mengulas kemungkinan Pilihan Raya Negeri (PRN) diadakan sebelum kelulusan diperoleh, beliau berkata sekiranya keadaan itu berlaku, pilihan raya tetap akan dijalankan berdasarkan 82 kerusi sedia ada.
“Namun soal masa dan penentuan pilihan raya adalah di bawah kebijaksanaan Premier Sarawak. Ia bergantung kepada pertimbangan kepimpinan tertinggi negeri.
“Tiada tekanan terhadap kepimpinan negeri dalam menentukan masa sesuai untuk PRN, sama ada bergantung kepada kelulusan penambahan kerusi atau sebaliknya,” jelasnya lagi.
