Sambut perayaan ikut model Sarawak saling menghormati

BINTULU: Rakyat Sarawak perlu mengikut model Sarawak yang menyambut perayaan masing-masing dalam suasana saling menghormati.

Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Prof. Dr Sim Kui Hian berkata, lebih-lebih lagi ketika umat Islam yang kini menyambut Ramadan.

“Ini model Sarawak setiap kaum meraikan perayaan sendiri, tetapi pada masa sama saling mengunjungi dan menghormati,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika Majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina anjuran Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Bintulu bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Batu Johnny Pang Leong Ming di Dewan Suarah Bintulu di sini, hari ini.

Dr Sim berkata di Sarawak, masyarakat juga bebas mengamalkan budaya sendiri dan pada masa sama menghormati sensitiviti kaum lain serta ini menjadi asas perpaduan.

Mengulas perkembangan Bintulu, beliau berkata kawasan itu menunjukkan kemajuan ketara sejak lebih sedekad lalu hasil pelaksanaan projek infrastruktur utama termasuk pembinaan Jambatan Tun Taib Mahmud yang meningkatkan jaringan pengangkutan serta merancakkan aktiviti ekonomi Sarawak.

“Kedudukan kewangan Sarawak kini semakin mantap dengan hasil cukai jualan negeri pada 2025 mencecah kira-kira RM3.9 bilion dan dijangka meningkat kepada RM5.3 bilion tahun ini,” tambahnya.