Rumah Terbuka CNY Saratok semarak dalam semangat Ramadan

SARATOK: Majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina 2026 anjuran anjuran Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Pekan Saratok berlangsung penuh harmoni apabila diraikan dalam suasana saling menghormati sempena bulan Ramadan.

Majlis di Dewan Terbuka SJKC Min Syn itu dihadiri pemimpin tempatan dan masyarakat pelbagai kaum dalam suasana harmoni.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka, Mohamad Duri, berkata, situasi itu jelas menggambarkan keindahan perpaduan masyarakat apabila tetamu bukan Islam turut berbuka puasa.

Tambah beliau, keunikan sambutan itu menjadi simbol toleransi dan persefahaman yang kukuh antara kaum, lebih-lebih lagi apabila Majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina diadakan serentak dengan bulan Ramadan.

Mohamad Duri dalam ucapannya turut merakamkan penghargaan kepada JKKK Pekan Saratok atas penganjuran majlis yang berjaya menghimpunkan masyarakat berbilang kaum dalam satu suasana penuh muhibah.

Beliau berharap semangat perpaduan yang dipamerkan masyarakat di daerah itu akan terus kekal dan menjadi contoh kepada generasi akan datang dalam mengekalkan keharmonian negara.