SIMANGGANG: Pertubuhan Belia Kebangsaan Bersatu Sarawak (SABERKAS) Cawangan Lingga mengagihkan 1,000 pek bubur lambuk kepada pengunjung Bazar Ramadan Pergerakan Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Simanggang di Pasar Tamu Baru, semalam.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga, Dayang Noorazah Awang Sohor memuji usaha belia SABERKAS yang menyediakan bubur lambuk tersebut.
Beliau berkata, seluruh proses termasuk penyediaan bahan, memasak, membungkus dan pengagihan dilakukan oleh golongan belia, menunjukkan komitmen dan dedikasi mereka.
Program pengagihan ini bertujuan mengimarahkan semangat bergotong-royong dalam kalangan masyarakat serta mengeratkan silaturahim antara belia dan penduduk setempat.
Dayang Noorazah turut turun padang menyantuni masyarakat dan memberi sokongan kepada usaha murni yang dijalankan oleh belia-belia SABERKAS.
Beliau mengucapkan tahniah kepada belia SABERKAS Cawangan Lingga atas komitmen dan dedikasi mereka, sambil berharap program seperti ini terus menyemarakkan semangat Ramadan dan ukhuwah masyarakat.
