DARO: Masyarakat di kawasan ini bakal memiliki sebuah dewan pelbagai guna yang akan dibina bersebelahan Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) Al-Syafie Daro.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro, Dr Safiee Ahmad berkata, dewan bernilai RM5 juta itu bagi memberi manfaat kepada masyarakat dan menyokong aktiviti pusat berkenaan.
“Dewan berkenaan bakal dilengkapi dua gelanggang badminton, manakala tingkat atas menyediakan beberapa bilik yang boleh dijadikan madrasah, kelas mengaji atau kegunaan komuniti lain,” katanya merasmikan Majlis Kesyukuran dan Iftar Ramadan PPDK Al-Syafie Daro sempena ulang tahun pertama pusat berkenaan beroperasi di bangunan baharu.
Menurutnya lagi, pembinaan dewan ini diharap menjadi pemangkin pembangunan sosial dan pendidikan setempat, selain menyediakan ruang lebih selesa untuk aktiviti pelatih.
Pusat itu beroperasi di premis berkenaan sejak dirasmi Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg pada 22 Februari 2025.
Dalam majlis berkenaan, beliau turut menyampaikan sumbangan Aidilfitri dan buah kurma kepada 30 pelatih sebagai persediaan menyambut Syawal.
