SIMUNJAN: Golongan memerlukan tidak ketinggalan merasai kemeriahan Ramadan apabila 100 penerima menerima sumbangan barangan dapur melalui Program Harapan Ramadan di sini, semalam.
Penerima terdiri daripada asnaf dan saudara baharu dari 14 kampung sekitar Daerah Simunjan
anjuran Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) dengan kerjasama CIMB Islamic Bank.
Majlis penyampaian sumbangan disempurnakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simunjan, Awla Dris, di Masjid Darul Hijrah di sini.
Sumbangan dana diberikan oleh CIMB Islamic Bank, manakala YADIM Sarawak sebagai pengurus dan penyelaras agihan bagi memastikan pelaksanaan tersusun dan menyeluruh.
Menurut Awla, Ramadan mendidik umat Islam dengan sifat rahmah dan empati terhadap golongan kurang bernasib baik.
“Inilah masa terbaik untuk memperkukuh nilai kebersamaan dan saling membantu,” katanya.
Simunjan dipilih sebagai lokasi keenam dan terakhir bagi program berkenaan peringkat Sarawak tahun ini.
Selain barangan dapur, 200 pek bubur lambuk berserta kurma dan biskut turut diagihkan sebagai simbolik semangat kebersamaan serta usaha pengimarahan Ramadan.
Awla merakamkan penghargaan kepada CIMB Islamic, YADIM Sarawak, Pejabat Daerah, para penghulu, dan pengerusi masjid atas kerjasama menjayakan program berkenaan.
