Mesyuarat HDA perkukuhkan agenda pembangunan wilayah tanah tinggi

KUCHING: Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas hari ini mempengerusikan Mesyuarat Lembaga Agensi Pembangunan Tanah Tinggi (HDA) Ketujuh bagi menilai kemajuan pelaksanaan pelbagai inisiatif pembangunan di wilayah tanah tinggi negeri ini.

Mesyuarat tersebut memberi tumpuan kepada kemas kini projek infrastruktur utama termasuk jalan Miri–Marudi, Marudi–Mulu (Kuala Melinau) serta laluan Long Panai–Long Lama (MMMLL) yang menjadi pemangkin keterhubungan dan pertumbuhan ekonomi di kawasan pedalaman khususnya Baram.

Selain meneliti perkembangan fizikal projek, perbincangan turut menjurus kepada keutamaan strategik bagi memperkukuh pelaksanaan infrastruktur dan program sosioekonomi selaras dengan aspirasi pembangunan mampan dan inklusif kerajaan negeri.

Mesyuarat dihadiri Timbalan Menteri di Jabatan Premier (Buruh, Imigresen dan Pemantauan Projek) yang juga Timbalan Pengerusi HDA Datuk Gerawat Gala, ahli-ahli lembaga serta wakil industri yang berkepentingan dalam memastikan kelancaran perancangan dan pelaksanaan projek di bawah agensi berkenaan.

Gerawat dalam kenyataannya di Facebook merakamkan penghargaan atas komitmen semua ahli lembaga dan kakitangan dalam memastikan agenda pembangunan tanah tinggi dilaksanakan secara terancang dan berkesan.

Beliau menegaskan peranan HDA amat penting dalam merapatkan jurang pembangunan antara kawasan tanah tinggi dan kawasan bandar di Sarawak, khususnya melibatkan Baram dan penempatan pedalaman sekitarnya.

Menurutnya, kawasan berkenaan mempunyai potensi besar dalam sektor pelancongan, pertanian bernilai tinggi serta ekonomi komuniti, namun cabaran infrastruktur asas seperti jalan raya, bekalan elektrik, air bersih dan telekomunikasi perlu ditangani secara menyeluruh.

Sepanjang lima tahun lalu, HDA menerima peruntukan RM1.5 bilion dengan RM1.2 bilion digunakan untuk menaik taraf 400 kilometer (km) bekas jalan balak manakala RM300 juta diperuntukkan bagi projek bekalan air bersih.

Sebahagian besar projek siap manakala selebihnya masih dalam pelaksanaan termasuk jalan MMMLL yang dijangka menjadi pemangkin baharu pertumbuhan ekonomi.