KUCHING: Keputusan mahkamah melibatkan PETRONAS dan PETROS tidak menjejaskan petisyen difailkan Kerajaan Sarawak di Mahkamah Persekutuan.
“Ia tidak ada kaitan dan tidak memberi kesan kepada petisyen yang kita failkan di Mahkamah Persekutuan,”menurut Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang, MA63 dan Hubungan Negeri-Persekutuan) Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali.
Beliau berkata demikian semasa Majlis Penyerahan Siap Projek Dewan Taman Sukma, di sini hari ini.
Sharifah Hasidah menjelaskan keputusan mahkamah melibatkan PETRONAS dan PETROS tersebut disifatkan sebagai kes komersial dan berbeza petisyen difailkan Kerajaan Sarawak untuk mendapatkan kejelasan undang-undang antara negeri dan Persekutuan.
Tambahnya lagi, Kerajaan Sarawak kekal komited meneruskan proses perundangan yang sedang berjalan bagi memastikan hak negeri dapat diperjelaskan melalui saluran undang-undang yang betul.
“Ini terbukti melalui usaha serta komitmen Kerajaan Negeri dalam memperjuangkan hak rakyat Sarawak menerusi Perjanjian Malaysis 1963 (MA63),” katanya.
Sementara itu, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Samariang itu menyifatkan projek Dewan Taman Sukma bernilai RM4.9 juta sebagai manifestasi komitmen kerajaan dalam membangunkan masyarakat di seluruh Sarawak.
Menurutnya, kemudahan dewan tersebut bakal menyediakan fasiliti moden yang boleh digunakan bagi pelbagai aktiviti komuniti termasuk program kemasyarakatan, mesyuarat serta aktiviti sosial.
“Dewan ini turut dilengkapi dengan bilik mesyuarat, pejabat am serta kemudahan tandas Orang Kelainan Upaya (OKU) bagi memastikan keselesaan pengguna,” katanya.
