Keluarga mangsa kebakaran rumah terima sumbangan di Kampung Sampadi

LUNDU: Dua keluarga yang kehilangan tempat berteduh dalam kebakaran dua rumah menerima sumbangan bantuan di Kampung Sampadi, di sini, hari ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Datu, Azizul Annuar Pehin Sri Adenan menyampaikan sumbangan itu berupa barangan keperluan asas, bakul makanan serta sumbangan wang tunai bagi meringankan beban mereka yang melibatkan seramai lapan orang penghuni.

Beliau turut akan memastikan agar agensi berkaitan terus memantau kebajikan mangsa bagi proses bantuan susulan yang diperlukan dan membuktikan keprihatinan Kerajaan Sarawak.

Turut hadir, Wakil Pegawai Daerah Lundu Anwar Fakhiryuddin Matmit, Penghulu Sarkawi Nawi, Ketua Pergerakan Wanita Parti PBB N3 Tanjong Datu, Fatimah Abdullah.