KUCHING: Kira-kira 300 warga emas dari bahagian ini dan kawasan sekitar dijangka dihimpunkan dalam program Senior Citizen–We CARE For You di Wisma Sabati, di sini, pada 4 April depan.
Menurut kenyataan program itu, Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah mempengerusikan mesyuarat penyelarasan program itu, di sini, hari ini.
Anjuran Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak dengan kerjasama Normah Medical Centre, program bertujuan mempromosikan penuaan sihat dan aktif serta meningkatkan kesejahteraan keseluruhan warga emas di Sarawak.
“Program akan menampilkan ceramah kesihatan yang menarik dan interaktif, selain sesi perkongsian maklumat bermanfaat,” menurut kenyataan itu.
Di samping itu, pelbagai booth perkhidmatan akan disediakan bagi menawarkan bantuan dan perkhidmatan penting yang berkaitan keperluan warga emas.
