Peniaga Bazar Ramadan Pemuda Parti PBB Cawangan Simanggang dapat insentif

SIMANGGANG: Subsidi berjumlah RM20,000 disalurkan kepada penjaja Bazar Ramadan Pergerakan Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan Simanggang di sini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga, Dayang Noorazah Awang Sohor berkata subsidi itu bagi membantu meringankan beban kos operasi sepanjang Ramadan ini.

Beliau berkata, Bazar Ramadan bukan sekadar lokasi jual beli juadah berbuka puasa, malah menjadi simbol tradisi, medan pertemuan masyarakat dan platform menggerakkan ekonomi khususnya peniaga kecil.

Menurutnya, ramai penjaja bergantung sepenuhnya kepada musim Ramadan untuk menjana pendapatan tambahan bagi menyara keluarga, menampung kos persekolahan anak-anak serta membuat persediaan menjelang Aidilfitri.

Sebagai tanda keprihatinan, Dayang Noorazah memaklumkan bahawa keseluruhan subsidi yang disalurkan kepada penjaja Ramadan di kawasan tersebut bagi tahun 2026 berjumlah RM42,500, merangkumi beberapa lokasi bazar di bawah DUN Lingga.

Daripada jumlah itu, sebanyak RM20,000 diperuntukkan khusus kepada penjaja di Bazar Ramadan anjuran Pergerakan Pemuda Parti PBB Simanggang, dengan setiap penama menerima insentif sebanyak RM250.

Teks ucapan beliau dibacakan Timbalan Ketua Cawangan PBB Lingga, Kaunselor Suhaidi@Roslan Los pada majlis penyerahan subsidi yang berlangsung di Pasar Tamu Baru, petang ini.

Hadir sama Ketua Pemuda Cawangan Simanggang, Kaunselor Abdul Hisham Ahmad; Setiausaha Cawangan Parti PBB Lingga, Awang Najit Awang Sohor; serta Ketua Wanita Lingga, Sapiah Drahman.