SARATOK: Projek bina baharu Pusat Tahfiz Saratok bernilai RM500,000 akan dimulakan selepas proses cabut undi oleh Pejabat Residen Bahagian Betong dan dijadual dilaksana pada tahun ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka, Mohamad Duri berkata, pembinaan pusat itu dilaksanakan menerusi peruntukan Program Transformasi Luar Bandar (RTP) bagi memperkukuh pembangunan pendidikan Islam di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kalaka.
Katanya, projek berkenaan kini di peringkat akhir proses dokumentasi sebelum dimulakan sebaik sahaja cabut undi disempurnakan oleh Pejabat Residen Bahagian Betong.
Lawatan tapak diadakan di lokasi cadangan projek yang terletak bersebelahan Surau Al Fajr, Kampung Pagan bagi meninjau kesesuaian kawasan.
Lawatan turut disertai wakil Pejabat Residen Bahagian Betong, Pejabat Daerah Saratok, Jabatan Kerja Raya (JKR) Saratok selaku agensi pelaksana.
Mohamad Duri berkata, dengan siapnya Pusat Tahfiz Saratok kelak, penuntut bakal menikmati suasana pembelajaran lebih selesa dan kondusif, sekali gus memperkasa usaha melahirkan generasi huffaz yang cemerlang serta berakhlak mulia di DUN Kalaka.
