BETONG: Kerajaan Sarawak memperuntukkan sebanyak RM16 juta bagi pembinaan replika kubu pahlawan Iban, Rentap, di Bukit Sadok di sini.
Ia sebagai usaha memperkukuh sektor pelancongan dan memartabatkan warisan sejarah negeri ini.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, berkata dana kini sedia digunakan dan berada di bawah seliaan Majlis Daerah Betong (MDB).
Pembinaan projek itu bukan sahaja bertujuan menarik pelancong tempatan dan antarabangsa, malah menjadi simbol penghargaan terhadap perjuangan Rentap yang menentang pemerintahan Rajah pada abad ke-19.
“Apabila siap nanti, kita berharap lebih ramai pelancong akan datang dan ini membuka peluang perniagaan kraf tangan kepada penduduk,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Cek Pampasan Tanah bagi Projek Menaik Taraf Jalan Mara, Jalan Selangking, Nanga Sela dan Tanjung Paoh di sini hari ini.
Uggah menegaskan peningkatan kemasukan pelancong dijangka memberi limpahan ekonomi kepada komuniti, khususnya dalam sektor perusahaan kecil dan sederhana (PKS) berasaskan warisan budaya serta produk pelancongan komuniti.
Hadir sama Datin Amar Dato Doreen Mayang, Ahli Parlimen Betong, Dato Dr Richard Rapu, dan Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Roseline Mapong Sabai.
