Rakyat Malaysia di Timur Tengah dinasihat patuhi arahan keselamatan

SARIKEI: Rakyat Malaysia khasnya Sarawak yang terkandas akibat konflik di beberapa negara Timur Tengah dinasihat agar berwaspada serta mematuhi arahan pihak berkuasa tempatan dan kedutaan Malaysia di negara masing-masing.

Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, pihak kedutaan sentiasa memantau perkembangan semasa dan berusaha memastikan keselamatan rakyat Malaysia yang berada di kawasan terjejas.

“Pada masa ini, pihak kedutaan sentiasa mengeluarkan kenyataan bagi memastikan rakyat Malaysia berada dalam keadaan selamat dan keberadaan mereka didaftarkan dengan pihak kedutaan.

“Langkah ini membolehkan pihak kedutaan mengetahui lokasi mereka dan sekiranya berlaku sebarang kecemasan, tindakan segera dapat diambil bagi memastikan keselamatan terjamin,” katanya.

Beliau menjelas demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Sejambak Kasih Aidilfitri 2026 anjuran Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Bahagian Sarikei di Bangunan Pentadbiran Kerajaan Sarawak Bahagian Sarikei, di sini hari ini.

Turut hadir ialah Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Sarawak Datuk Len Talif Salleh, Residen Bahagian Sarikei Datu Micheal Ronnie Langgung, Pengarah JKM Negeri Sarawak Semawi Mohamad serta ketua-ketua jabatan dan masyarakat.

Mengulas lanjut, Fatimah berkata semua usaha sedang dijalankan bagi menempatkan rakyat Malaysia yang terkesan di lokasi lebih selamat serta membawa mereka pulang ke tanah air dengan selamat.

Dalam perkembangan berkaitan, seramai 420 penerima bantuan bulanan kebajikan menerima sumbangan wang tunai dan hamper sempena Hari Raya yang bakal menjelang.