SEBUYAU: Projek pembinaan jalan baharu amat penting bagi meningkatkan tahap keselesaan dan keselamatan pengguna jalan raya, khususnya penduduk Kampung Sungai Ijok di sini dan kawasan sekitarnya.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sebuyau, Dato Sri Julaihi Narawi berkata jalan baharu itu dijangka memberi kesan positif kepada penduduk dengan memudahkan urusan harian, mempercepatkan akses ke pekan berhampiran serta merangsang aktiviti ekonomi kampung.
Justeru, beliau amat menekankan kepentingan memastikan projek itu disiapkan mengikut jadual yang ditetapkan serta mengekalkan kualiti kerja pada tahap terbaik agar manfaatnya dapat dinikmati dalam jangka panjang.
Beliau berkata demikian ketika ditemui semasa mengadakan lawatan ke tapak projek itu semalam bagi meninjau perkembangan semasa projek yang amat dinantikan penduduk.
Lawatan berkenaan turut mencerminkan komitmen berterusan kepimpinan kawasan dalam memastikan pembangunan infrastruktur luar bandar terus diberi perhatian demi kesejahteraan rakyat.
Turut hadir ialah Residen Bahagian Samarahan, Mohamad Irwan Bahari Bujang, Pegawai Daerah Sebuyau, Ayuradiman Bujang, Pegawai Tadbir Khas Agensi Pembangunan Bersepadu Wilayah Samarahan (IRSDA), Anuar Daan serta Setiausaha Majlis Daerah Sebuyau, Oldrige Ripat.
