Sarawak tubuh unit bantu tangani perubahan iklim

KUCHING: Kerajaan Sarawak menubuhkan Unit Diplomasi Tenaga dan Iklim Sarawak untuk mengetuai sesi libat urus berkaitan iklim, karbon dan peralihan tenaga.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, unit itu akan disokong secara teknikal oleh Pusat Perubahan Iklim Sarawak di peringkat wilayah dan antarabangsa.

Penubuhan unit itu sejajar dengan komitmen Sarawak dalam menyokong negara membantu menangani perubahan iklim di peringkat global, katanya semasa melancar ‘Subnational Climate Change Institutional Assessment (CCIA) untuk Sarawak dan Sabah’ di sini, hari ini.

Beliau berkata, fungsi CCIA termasuk mewakili Sarawak dalam forum iklim global, penasihat projek utama dan dipersetujui, mengintegrasi iklim dan pertimbangan tenaga ke dalam perancangan negeri dan penyatuan sumber hijau dan teknologi untuk mengukuhkan kelestarian pembangunan dan daya saing ekonomi Sarawak,

Pelancaran CCIA itu, katanya, menandakan hala tuju penting Sarawak dalam menyokong usaha Malaysia membantu menangani perubahan iklim di dunia.

Ia juga mencerminkan perkongsian persefahaman bahawa tindakan terhadap iklim tidak boleh ditangani oleh sebuah badan sahaja tetapi memerlukan perkongsian, kepercayaan dan penyelarasan melintasi sempadan, katanya.

Menurut Premier Sarawak, laporan CCIA itu bukan hanya satu dokumen untuk disimpan tetapi sebagai hala tuju yang harus dilakukan secara bersama.

Laporan CCIA itu, tambahnya, diibaratkan sebagai cermin untuk membantu di mana kedudukan Sarawak dan lebih penting lagi untuk Sarawak bertindak dengan betul dan secara bersama.

Abang Johari menegaskan, Sarawak komited dengan sesi libat urus yang membina dengan Kerajaan Persekutuan dan Sabah bagi memastikan dasarnya adalah selari, menyelaras pelaburan dan berkongsi pembelajaran supaya tindakan itu memberi manfaat kepada Malaysia.

Hadir sama, Timbalan-Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Datuk Amar Prof Dr Sim Kui Hian, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nasar, Menteri di Jabatan Premier Sarawak, Dato Sri John Sikie Tayai, Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak, Datuk Dr Hazland Abang Hipni dan Ketua Ahli Ekonomi Bank Dunia bagi Malaysia, Apurva Sanghi.