LAWAS: Rakyat diingatkan agar terus menjaga dan mempertahankan Sarawak seperti pesanan Allahyarham Pehin Sri Adenan Satem.
Ahli Parlimen Lawas, Henry Sum Agong berkata, pesanan itu wajar dijadikan pedoman oleh setiap generasi anak negeri ini.
“Amanah tersebut perlu diterjemahkan melalui semangat perpaduan serta kesiapsiagaan rakyat Sarawak bagi memastikan setiap perancangan pembangunan dapat dilaksanakan dengan berkesan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan sambutan Pesta Chap Goh Meh di Dewan Tua Pek Kong Lawas, di sini, hari ini.
Beliau menegaskan bahawa masa depan Sarawak bergantung kepada kerjasama dan komitmen semua pihak.
Henry turut menggesa masyarakat Cina agar bersama-sama memainkan peranan aktif dalam pembangunan negeri, khususnya melalui penglibatan dalam sektor perniagaan dan pembukaan lebih banyak peluang ekonomi di Sarawak.
Beliau turut mengumumkan sumbangan sebanyak RM10,000 bagi membantu jawatankuasa mengelolakan program tersebut.
Turut hadir ialah Pengerusi Tua Pek Kong Lawas, Siek Hien Teck; Pemanca Tan Yong H’ng; Penghulu Dennis Liaw Soon Cheng; serta pemimpin masyarakat Cina Lawas.
