Premier Sarawak sertai majlis iftar bersama PERYATIM Kuching

KUCHING: Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg meneruskan aktiviti mengimarahkan Ramadan dengan menghadiri Majlis Berbuka Puasa, Solat Maghrib, Isyak dan Tarawih berjemaah bersama Pertubuhan Kebajikan Anak-Anak Yatim Sarawak (PERYATIM) Cawangan Kuching yang diadakan di Dewan Serbaguna, Kompleks Satria Pertiwi, di sini, malam ini.

Ia kali pertama program seumpama diadakan di Kompleks Satria Pertiwi kerana sebelum ini, ia diadakan di bangunan PERYATIM sendiri ketika di bawah tampuk pimpinan Allahyarhamah Puan Sri Datuk Amar Juma’ani Tun Tuanku Bujang selaku Penasihat PERYATIM.

Selepas pemergian Allahyarhamah, anakanda kepada Premier Sarawak Dayang Norjihan mengambil alih kepimpinan sebagai Penasihat PERYATIM, meneruskan legasi serta kesinambungan program kebajikan.

Terdahulu, majlis berbuka puasa dimulakan dengan bacaan tahlil ringkas yang dipimpin oleh Ustaz Kasdinata Hashim diikuti dengan doa berbuka puasa sebelum para tetamu dan hadirin menikmati juadah berbuka.

Selepas berbuka, majlis diteruskan dengan solat Maghrib, Isyak dan solat sunat Tarawih secara berjemaah.

Acara kemuncak pada malam tersebut penyampaian sumbangan peribadi daripada Premier Sarawak dan keluarga kepada anak-anak PERYATIM Kuching.

Seramai 63 orang anak asuhan PERYATIM menerima sumbangan tersebut sebagai tanda kasih dan keprihatinan.

Sumbangan kepada anak-anak lelaki disampaikan sendiri oleh Abang Johari manakala sumbangan kepada anak-anak perempuan disampaikan oleh Dayang Norjihan selaku Penasihat PERYATIM.

Penghargaan turut dizahirkan kepada Allahyarhamah Puan Sri Datuk Amar Juma’ani atas segala jasa dan bakti beliau sepanjang memimpin PERYATIM.

Turut hadir, ahli korporat Tan Sri Dato Sri Bustari Yusof, Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak merangkap Pengerusi Ahli Lembaga Amanah PERYATIM Sarawak Datuk Misnu Taha.