Laporan projek air Sarawak perlu disiapkan segera – Fadillah

KUCHING: Kerajaan Persekutuan memberi tumpuan kepada pelaksanaan projek bekalan air di kawasan luar bandar Sarawak, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Amar Fadillah Yusof.

Katanya, langkah itu bagi meningkatkan kemudahan asas dan kesejahteraan rakyat.

Katanya, perkara itu dibincangkan dalam Mesyuarat Pembangunan Negeri yang dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di sini, hari ini.

“Mesyuarat itu memberi fokus kepada usaha memperkukuh kerjasama antara kerajaan negeri dan Persekutuan bagi mempercepatkan pelaksanaan projek bekalan air di luar bandar,” katanya.

Menurutnya, mesyuarat berkenaan turut menyentuh rancangan berkaitan pengurusan air serta isu integriti baraj yang mengalami hakisan di bahagian hulu dan hilir.

“Seperti yang diumumkan oleh Perdana Menteri, kerajaan meluluskan peruntukan untuk menangani isu tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Berbuka Puasa MADANI 2026 Peringkat Sarawak yang turut dihadiri Perdana Menteri dan Premier Sarawak, di Masjid Jamek Negeri Sarawak di sini, hari ini.

Fadillah turut merakamkan penghargaan atas kelulusan peruntukan itu bagi pihak kementerian berkaitan, ahli Parlimen serta penduduk Kuching yang dijangka mendapat manfaat daripada projek tersebut.

Bagaimanapun, beliau menegaskan Kerajaan Sarawak perlu menyiapkan laporan kajian dengan segera untuk dibentangkan kepada Kementerian Ekonomi sebelum dibawa ke Kabinet bagi tindakan susulan.