Semangat setiakawan Sarawak, Kerajaan Persekutuan berjaya selesaikan beberapa perkara

KUCHING: Pertemuan antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sarawak pada Mesyuarat Pembangunan Negeri yang berlangsung di sini, hari ini membincangkan beberapa perkara berhubung kerjasama kedua-dua pihak.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, menerusi mesyuarat itu ada beberapa isu utama diselesaikan dengan baik.

“Pada hari ini, kita ada mesyuarat bersama Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim. Nampaknya, hasil mesyuarat dapat menyelesaikan beberapa perkara, masalah selesai. Ini menunjukkan hubungan erat dan semangat setia kawan antara kedua-dua kerajaan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Berbuka Puasa MADANI 2026 di pekarangan Masjid Jamek Negeri, Petra Jaya di sini, hari ini.

Majlis dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, Timbalan Perdana Menteri Datuk Amar Fadillah Yusof, Speaker Dewan Negara Dato Awang Bemee Awang Ali Basah, Timbalan Premier Datuk Amar Douglas Uggah dan Datuk Amar Prof Sim Kui Hian serta tetamu kenamaan lain.

Abang Johari berkata, keadaan Malaysia yang aman dan stabil membolehkan kerajaan memberi tumpuan kepada usaha membantu masyarakat antarabangsa serta mengukuhkan hubungan diplomatik dengan negara lain.

Beliau menambah bahawa ekonomi negara kini menunjukkan perkembangan positif dengan peningkatan pelaburan asing, termasuk minat pelabur luar untuk meneroka peluang pelaburan di Sarawak.

Katanya, kerajaan negeri turut memainkan peranan membantu rakyat melalui pelbagai inisiatif kebajikan, termasuk bantuan Sumbangan Keperluan Asas Sarawak (SKAS) dengan peruntukan sebanyak RM650 juta bagi membantu golongan berpendapatan rendah.

“Usaha ini diharap dapat meringankan beban rakyat, khususnya dalam menghadapi kenaikan kos sara hidup termasuk kesan kenaikan harga minyak ketika ini,” katanya.