Majlis Berbuka Puasa MADANI simbol perpaduan masyarakat majmuk

KUCHING: Lebih 1,000 orang menghadiri Majlis Berbuka Puasa MADANI 2026 Peringkat Sarawak di pekarangan Masjid Jamek Negeri Sarawak di sini, malam ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menghadiri majlis tersebut yang turut dihadiri Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, Timbalan Perdana Menteri Datuk Amar Fadillah Yusof, Yang Dipertua Dewan Negara, Datuk Awang Bemee Awang Ali Basah, Timbalan-timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah dan Datuk Amar Profesor Dr Sim Kui Hian serta tetamu kenamaan lain.

Majlis tersebut anjuran Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) dan Pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) Sarawak serta Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU), Pejabat Perdana Menteri.

Menerusi tema “Islah MADANI: Memurni Jiwa, Membangun Ummah” majlis itu bertujuan memupuk semangat muhibah dan perpaduan dalam kalangan masyarakat serta menjadi wadah pemimpin berinteraksi dan beramah mesra dengan rakyat di sini.

Penganjuran di Sarawak yang merupakan destinasi ketujuh itu sebagai simbolik kemajmukan budaya Malaysia dalam memperkukuh keharmonian dan
kesejahteraan masyarakat berbilang kaum dan agama.