SIMANGGANG: Kerajaan Sarawak terus memperkukuhkan sistem sokongan sosial apabila agihan bantuan kebajikan bulanan di Bahagian Sri Aman mencecah RM2.65 juta sebulan, setakat Februari tahun ini.
Ia memanfaatkan 5,820 penerima.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga, Dayang Noorazah Awang Sohor, berkata komitmen itu melibatkan implikasi kewangan sebanyak RM2,658,600 sebulan bagi memastikan kebajikan golongan memerlukan seperti kanak-kanak, orang kurang upaya (OKU) dan warga emas terbela di peringkat akar umbi.
Daripada jumlah keseluruhan itu, 3,852 penerima melibatkan kawasan Daerah Sri Aman dan Lingga dengan jumlah peruntukan sebanyak RM1,774,700, manakala 806 penerima lagi adalah dari kawasan Parlimen Batang Lupar.
Bagi pecahan mengikut kaum di daerah berkenaan, seramai 344 penerima terdiri daripada kaum Melayu dengan jumlah peruntukan RM156,750 sebulan, sekali gus mencerminkan komitmen kerajaan memastikan tiada golongan yang tercicir daripada menerima bantuan kebajikan.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Sejambak Kasih Hari Raya Aidilfitri Peringkat Bahagian Sri Aman hari ini, yang merupakan program ‘signature’ Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Sarawak dalam menyantuni klien jabatan.
Pada majlis tersebut, seramai 100 klien menerima sumbangan hamper bernilai RM80 serta wang tunai RM100, manakala penerima lain akan menerima bantuan yang dikreditkan terus ke akaun masing-masing sebagai persiapan menyambut Hari Raya.
Dayang Noorazah menambah, pelaksanaan program itu selari dengan aspirasi Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) dalam memacu pembangunan sosioekonomi Sarawak ke arah mencapai status negeri maju menjelang tahun 2030.
Turut hadir ialah Pegawai Kebajikan Masyarakat Bahagian Sri Aman, Sharifah Mordiah Syed Ali; Timbalan Residen Bahagian Sri Aman, Charlie Keling; Pegawai Daerah Sri Aman, Shariff Bujang; serta Temenggung Mohd Shah Achang.
