KUCHING: Kerajaan Persekutuan bersama Kerajaan Sarawak akan mempercepatkan pelaksanaan projek bekalan air dan elektrik di Sarawak.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beberapa projek bekalan air yang tergendala pelaksanaannya juga akan diteliti bersama kerajaan negeri.
“Bekalan air dan elektrik rakyat mesti dijamin; tiada alasan untuk melengah-lengahkan,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa menghadiri Majlis Berbuka Puasa MADANI 2026 Peringkat Sarawak yang juga dihadiri Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan Timbalan Perdana Menteri Datuk Amar Fadillah Yusof di Masjid Jamek Negeri Sarawak, di sini, hari ini.
Anwar berkata, dengan kerjasama erat antara Persekutuan dan Negeri, beliau yakin keputusan dapat dibuat beberapa minggu selepas sambutan Aidilfitri ini mengenai projek itu supaya pelaksanaan lebih berkesan.
Selain itu, beliau juga mengumumkan pihaknya bersetuju untuk membiayai sekitar RM150 juta bagi projek pembaikan segera baraj yang rosak di sini.
