Peningkatan peruntukan SKAS legakan penduduk luar bandar

TANJUNG MANIS: Peningkatan jumlah peruntukan Sumbangan Keperluan Asas Sarawak (SKAS) melegakan rakyat, khususnya penduduk di luar bandar yang turut menerima manfaat daripada inisiatif kebajikan kerajaan negeri itu.

Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Rajang Datuk Len Talif Salleh berkata, bantuan tersebut mencerminkan keprihatinan Kerajaan Sarawak dalam memastikan kebajikan rakyat terus terpelihara.

Menurut beliau, pelaksanaan SKAS merupakan inisiatif yang berteraskan nilai kasih sayang serta komitmen Kerajaan Sarawak dalam membantu golongan memerlukan.

“Bantuan ini diwujudkan bagi meningkatkan kesejahteraan rakyat melalui penyaluran bantuan kewangan secara bersasar kepada golongan layak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran SKAS 2026 bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Rajang di Bilik Mesyuarat Pejabat Majlis Daerah Matu dan Daro Cawangan Belawai, di sini, hari ini.

Len Talif memaklumkan, penyaluran SKAS tahun ini melibatkan peruntukan keseluruhan sebanyak RM640 juta, meningkat berbanding RM480.2 juta yang disediakan pada tahun lalu.

Katanya, peningkatan tersebut mencerminkan kesungguhan kerajaan negeri yang diterajui oleh Gabungan Parti Sarawak (GPS) dalam memastikan kesejahteraan rakyat terus diberi perhatian.

Jelasnya, penggunaan aplikasi S Pay Global dalam pelaksanaan SKAS memudahkan penerima bantuan melakukan transaksi tanpa tunai dengan lebih selamat dan cekap.