Menang tanpa bertanding hadiah hari jadi Royston

MUKAH: Royston Valentine mengekalkan kedudukannya sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tellian selepas menang tanpa bertanding pada Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri (PRU DUN) Sarawak Ke-13, hari ini.

Calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) itu menjadi calon tunggal yang mengemukakan borang pencalonan di Pusat Penamaan Calon di Menara Pehin Setia Raja Mukah.

Royston hadir bersama pencadang Rantai Melin dan penyokongnya, Kang Boon Eong.

Mengulas kemenangannya, Royston bersyukur dan berikrar meneruskan amanah yang diberikan rakyat, khususnya dalam memastikan agenda pembangunan di kawasan Tellian terus dilaksanakan.

Katanya, pembangunan kekal menjadi keutamaan dengan kesinambungan perancangan yang sudah dimulakan pemimpin terdahulu.

Beliau berkata, aspek pendidikan turut diberi perhatian bagi memastikan masyarakat setempat tidak tercicir, selain memperkukuh pembangunan sosioekonomi penduduk.

Menariknya, kemenangan tanpa bertanding itu hadir pada hari istimewa buat Royston apabila diraikan serentak dengan ulang tahun kelahirannya yang ke-40.