Awang Tengah catat kemenangan tanpa bertanding pada tiga PRN

LAWAS: Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Sari kekal milik Gabungan Parti Sarawak (GPS) selepas penyandangnya, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan diumumkan menang tanpa bertanding pada Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri (PRU DUN) Sarawak Ke-13, hari ini.

Kejayaan itu mengulangi pencapaian Timbalan Premier Sarawak pada pilihan raya negeri 1996 dan 2016, sekali gus menyaksikan beliau memperoleh mandat untuk penggal kesembilan.

Keputusan tersebut diumumkan oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Ladin Atok di Pusat Penamaan Calon (PPC), Kompleks Pentadbiran Kerajaan Sarawak di Lawas.

Awang Tengah menjadi calon tunggal selepas calon Bebas, Mohamad Ibrahim menarik balik pencalonannya pada jam 9.50 pagi, kira-kira 28 minit selepas menyerahkan borang penamaan calon.

Terdahulu, lebih 3,000 penyokong mengiringi Awang Tengah ke pusat penamaan calon sebelum beliau menyerahkan borang pencalonan pada jam 9.04 pagi.

Pada PRN Sarawak 2021, beliau mempertahankan kerusi berkenaan dengan majoriti 5,636 undi selepas memperoleh 6,385 undi dalam pertandingan tiga penjuru.

Awang Tengah, 70, tidak pernah tewas dalam pilihan raya sejak pertama kali bertanding pada 1987, manakala DUN Bukit Sari merekodkan 35,710 pemilih berdaftar pada pilihan raya kali ini.