SADONG JAYA: Datuk Ir Aidel Lariwoo mengekalkan mandatnya sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sadong Jaya selepas diumumkan menang tanpa bertanding pada Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri (PRU DUN) Sarawak Ke-13, hari ini.
Calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) itu disahkan menang selepas muncul sebagai calon tunggal bagi kerusi DUN N.24 Sadong Jaya.
Keputusan tersebut diumumkan oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Hasanah Bujang di Pusat Penamaan Calon, Dewan Masyarakat Sadong Jaya, selepas proses penamaan calon selesai.
Aidel mengemukakan kertas penamaan calon pada jam 9.03 pagi dengan Mahdi Li sebagai pencadang, manakala Salleh Kamis sebagai penyokong.
“SPR hanya menerima satu sahaja kertas penamaan bagi Bahagian Pilihan Raya Negeri N.24 Sadong Jaya,” kata Hasanah ketika mengumumkan kemenangan tersebut.
Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-12 pada 2021, Aidel mempertahankan kerusi berkenaan dengan memperoleh 4,333 undi, mencatatkan majoriti 3,877 undi selepas menewaskan tiga pencabar.
Dengan kemenangan tanpa bertanding itu, pengundian bagi kerusi DUN Sadong Jaya pada 12 Disember ini tidak perlu diadakan.
