SPAOH: Calon Gabungan Parti Sarawak (GPS), Datuk Amar Douglas Uggah Embas, mengekalkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.37 Bukit Saban selepas menang tanpa bertanding pada Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri (PRU DUN) Sarawak ke-13 hari ini.
Kemenangan itu disifatkan beliau sebagai cerminan kematangan penduduk dan pengundi di Bukit Saban, selain tanda penerimaan terhadap usaha pembangunan yang dilaksanakan Kerajaan GPS.
“Ini menunjukkan kematangan penduduk dan pengundi di Bukit Saban dan ini menunjukkan mereka telah menerima serta berterima kasih atas apa yang GPS lakukan selama ini,” katanya selepas proses penamaan calon di Dewan Masyarakat Spaoh, hari ini.
Menurut Uggah, pelbagai projek pembangunan yang dilaksanakan sejak beberapa tahun lalu mula memperlihatkan hasil ketara, khususnya dalam meningkatkan kemudahan infrastruktur dan peluang ekonomi masyarakat.
Bagaimanapun, Uggah menegaskan kemenangan tanpa bertanding itu bukan alasan untuk berasa selesa, sebaliknya merupakan amanah besar yang menuntut beliau terus memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.
“Bagi saya, kemenangan tanpa bertanding ini adalah satu tanggungjawab. Dalam kita berterima kasih, saya akan terus komited kepada rakyat, terutama dalam usaha meningkatkan pendapatan mereka,” katanya.
Beliau berkata, antara agenda utama yang akan terus diperjuangkan ialah merealisasikan sasaran meningkatkan pendapatan isi rumah kepada RM15,000 sebulan menjelang 2030 menerusi Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 2030 (PCDS 2030).
Dalam pada itu, Uggah merakamkan penghargaan kepada seluruh pengundi Bukit Saban, pegawai pengurus pilihan raya, pasukan keselamatan dan pihak media atas kerjasama memastikan proses penamaan calon berlangsung lancar serta teratur.
Turut mengiringi beliau ialah Ahli Parlimen Betong, Dato Dr Richard Rapu.
