Pertikaian Petronas-Petros: Sarawak hormati keputusan perundangan

KUCHING: Isu perundangan berkaitan pertikaian industri petroleum di Sarawak kini beralih ke peringkat lebih tinggi apabila kes tersebut dibenarkan untuk dirujuk ke Mahkamah Persekutuan Malaysia.

Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang, MA63 dan Hubungan Negeri–Persekutuan), Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali berkata, kerajaan negeri menerima keputusan itu sebagai sebahagian daripada proses perundangan yang perlu dihormati.

“Mahkamah melihat terdapat isu penting melibatkan tafsiran undang-undang, khususnya berkaitan bidang kuasa Sarawak dalam mengawal selia sektor petroleum, yang memerlukan penelitian di peringkat tertinggi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyampaikan sumbangan kepada anak-anak yatim dan asnaf di Pusat Khidmat DUN Samariang, di sini, hari ini.

Tambahnya, Petroliam Nasional Bhd (PETRONAS) diberikan tempoh 21 hari untuk memfailkan petisyen sebelum tarikh pendengaran ditetapkan.

“Buat masa ini, kita menunggu tindakan lanjut daripada pihak PETRONAS dan menghormati keputusan yang dibuat mahkamah,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berharap agar petisyen berkenaan dapat didengar bersama permohonan Kerajaan Sarawak bagi memastikan penyelesaian yang menyeluruh terhadap isu berbangkit.