KUCHING: Penduduk kawasan Program Perumahan Rakyat (PPR) Landeh bersama-sama menunaikan solat sunat Aidilfitri di Surau An-Nur Mustaqim, di sini, pagi tadi.
Jemaah terbabit mula hadir dengan wajah ceria dan mengenakan pakaian tradisional yang indah sebagai tanda kesyukuran setelah sebulan menunaikan ibadah puasa.
Mereka terdiri daripada kanak-kanak, golongan dewasa, mahupun warga emas semuanya berkumpul dengan penuh semangat, saling bertegur sapa sebelum solat.
Selepas selesai menunaikan solat sunat Aidilfitri, para jemaah tidak melepaskan peluang bersalaman dan bermaafan serta mengeratkan lagi hubungan silaturahim sesama mereka.
Ada juga yang mengambil kesempatan untuk bergambar bersama keluarga dan sahabat handai sebagai kenangan indah di pagi raya yang meriah itu.
