KUCHING: Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air ( PETRA) memantau rapi peralihan musim Monsun Timur Laut ke Monsun Barat Daya yang menyebabkan cuaca lebih panas dan tidak menentu yang boleh menjejaskan bekalan air.
Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Amar Fadillah Yusof berkata, sehubungan itu syarikat-syarikat perkhidmatan air di setiap negeri akan memastikan bekalan air sentiasa mencukupi.
Katanya, antara langkah yang diambil termasuk penyediaan bekalan air melalui lori tangki dan pemantauan berterusan terhadap kolam takungan air.
“Setakat ini, keadaan bekalan air masih terkawal. Namun, pemantauan akan terus dipertingkatkan bagi memastikan keperluan rakyat sentiasa terjamin,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika bersama isteri Datin Amar Ruziah Mohd Tahir menghadiri Majlis Ramah Mesra Rakyat anjuran Gabungan Penghulu dan Ketua Masyarakat P.194 Petra Jaya di CIDB Sarawak, hari ini.
Fadillah pada masa sama menggesa rakyat agar menggunakan air secara berhemah, khususnya dalam keadaan cuaca panas yang tidak menentu ini.
Selain itu, beliau berkata, kerajaan akan terus memantau keadaan semasa termasuk isu subsidi bahan api seperti RON95 dan diesel.
Katanya, ini bagi memastikan bekalan dalam negara kekal stabil serta mengelakkan sebarang aktiviti penyeludupan yang boleh menjejaskan kepentingan rakyat.
