Michael Tiang Santuni Pemimpin Komuniti dalam Ziarah Raya di Pelawan

SIBU: Dalam semangat Aidilfitri yang penuh keberkatan, Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Michael Tiang Ming Tee telah mengadakan kunjungan ziarah Raya ke beberapa kediaman pemimpin parti, wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta pentadbiran Masjid Darul Firdaus di kawasan ADUN N.54 Pelawan.

Program tersebut bertujuan mengeratkan silaturahim serta memperkukuh hubungan antara pemimpin dan masyarakat setempat, di samping menyemarakkan semangat perpaduan dalam kalangan komuniti.

Kunjungan dimulakan di kediaman Pengerusi Masjid Darul Firdaus merangkap Setiausaha Cawangan PBB N51 Bukit Assek Junaidi Mohamad Mokhtar dan kehadiran Michael disambut mesra dalam suasana harmoni dan penuh kekeluargaan.

Rombongan kemudian berkunjung ke rumah Ketua Pemuda PBB N.54 Pelawan merangkap Ahli Majlis Tertinggi Pemuda PBB Negeri serta Setiausaha Masjid Darul Firdaus Abang Mohamad Hafiq Abang Kassim dan kediaman Pengerusi Pembinaan Masjid Baharu Masjid Darul Firdaus Apollo Sibu Hamzah A. Beraan.

Kunjungan ini mencerminkan sokongan berterusan terhadap kepimpinan generasi muda dalam pembangunan komuniti dimana dalam kunjungan tersebut, turut diadakan perbincangan mengenai perkembangan projek pembinaan masjid bagi meningkatkan kemudahan kepada umat Islam setempat.

Sebagai penutup, beliau turut meluang menziarahi Ketua Wanita AJK Masjid Darul Firdaus serta wakil KRT Apollo Deshon Sibu, Dayang Siti Khaminah Abang Bolhassan dan kunjungan ini menzahirkan penghargaan terhadap peranan wanita dalam memajukan institusi masjid dan komuniti.

Program ziarah ini bukan sahaja menghidupkan semangat Aidilfitri, malah memperkukuhkan lagi ukhuwah serta kerjasama antara pemimpin dan masyarakat dalam usaha membangunkan kawasan setempat.