KUCHING: Premis makanan Yucca Asian Fusion di kawasan Petra Jaya kini secara rasmi menerima pensijilan halal selepas memenuhi semua syarat dan piawaian yang ditetapkan pihak berkuasa berkaitan.
Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak (MIS) Datuk Misnu Taha pensijilan halal diberikan kepada premis tersebut selepas pemeriksaan menyeluruh dijalankan termasuk aspek kebersihan dapur di samping pengendalian makanan serta pematuhan standard halal.
Tambah beliau, pihak berkuasa menegaskan bahawa aspek kebersihan dan pematuhan halal akan terus dipantau secara berterusan.
“Tindakan tegas akan diambil sekiranya terdapat pelanggaran termasuk membawa masuk makanan luar yang tidak disahkan halal,”katanya kepada media selepas menyerahkan sijil halal kepada pemilik restoran Yucca Asian Fusion di Kuching hari ini.
Dalam masa sama, Misnu turut menyaran agar pengusaha makanan lain memohon pensijilan halal bagi meningkatkan keyakinan pengguna selain membantu mempromosikan industri makanan halal di Sarawak.
Kewujudan Zon Halal di beberapa kawasan termasuk Kuching dan Lundu juga bertujuan memastikan masyarakat Islam dan bukan Islam dapat menikmati makanan dengan selamat, bersih serta diyakini status halalnya.
