SCORE tarik pelaburan berjumlah RM151.5 bilion, tawarkan 60,000 peluang pekerjaan

KUCHING: Jumlah pelaburan yang diluluskan di kawasan Koridor Tenaga Boleh Diperbaharui Sarawak (SCORE) setakat ini mencecah RM151.5 bilion, kata Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.

Beliau yang juga Menteri Pembangunan Bandar dan Perancangan Sumber ll berkata, jumlah pelaburan itu merangkumi 655 projek yang berpotensi mewujudkan lebih 60,000 peluang pekerjaan untuk anak-anak Sarawak.

“Pencapaian itu mencerminkan kesungguhan kerajaan mahu mencapai pertumbuhan mampan, pembangunan saksama dan daya ketahanan ekonomi dalam jangka masa panjang untuk negeri ini,” katanya pada majlis Rumah Terbuka Rindok Raya RECODA di sini, hari ini.

Awang Tengah berkata, RECODA bersama dengan tiga agensi pembangunan wilayah iaitu Agensi Pembangunan Hulu Rajang (URDA), Agensi Pembangunan Tanah Tinggi (HAD) dan Agensi Pembangunan Wilayah Utara (NRDA), memain peranan penting dalam menjamin pembangunan wilayah yang seimbang dan inklusif di seluruh negeri ini.

Sebagai sebuah wilayah yang kaya dengan pelbagai kaum dan budaya, semangat muhibbah yang dinikmati hari ini merupakan kekuatan utama Sarawak, katanya.

“Saya percaya semangat kebersamaan inilah yang membolehkan Sarawak terus melangkah ke hadapan dengan penuh keyakinan dalam membangunkan wilayah ini secara inklusif dan mampan,” kata Awang Tengah.

RECODA, katanya, kini diberi tanggungjawab untuk melaksanakan 243 projek infrastruktur asas penting membabitkan jumlah peruntukan RM4.5 bilion di bawah Kerajaan Sarawak.

Projek terbabit, katanya, tertumpu kepada usaha meningkatkan kesalinghubungan dan perkhidmatan penting terutama di kawasan luar bandar.

Awang Tengah berkata, RECODA juga menjadi fasilitator pelaburan bagi mewujud ekosistem kondusif dan mesra pelabur untuk pelabur domestic dana asing.

Menurut beliau, inisiatif itu bukan setakat merangsang aktiviti ekonomi tetapi turut meningkatkan keupayaan tempatan melalui pelaburan berimpak tinggi di kawasan SCORE.

Dalam konteks pembangunan sosioekonomi, beliau berkata, RECODA bukan sahaja memberi tumpuan kepada pembangunan fizikal, malah turut memainkan peranan penting dalam memperkasa komuniti melalui peningkatan taraf hidup dan peluang ekonomi yang lebih inklusif.

Inisiatif-inisiatif yang dilaksanakan memberi impak langsung kepada rakyat, khususnya di luar bandar yang sebelum ini berdepan pelbagai kekangan akses dan peluang, katanya.

Menurut Awang Tengah, pada masa sama, pembangunan bakat tempatan turut menjadi keutamaan dan melalui pelaburan dan projek yang dilaksanakan, RECODA membantu mewujudkan peluang pekerjaan berkualiti serta membuka ruang kepada pemindahan pengetahuan dan kemahiran kepada tenaga kerja tempatan.

“Ini penting dalam memastikan rakyat Sarawak bukan sahaja menjadi penerima manfaat pembangunan, tetapi turut menjadi pemain utama dalam ekosistem ekonomi negeri,” katanya.

Beliau menambah,​ usaha RECODA adalah selari dan saling melengkapi agenda pembangunan Kerajaan Sarawak, khususnya di bawah strategi pembangunan jangka panjang negeri.

Pendekatan yang inklusif ini, katanya, memastikan tiada kawasan yang tercicir, dan setiap wilayah dapat menikmati hasil kemajuan secara adil dan seimbang.

“Kita juga menyaksikan bagaimana pembangunan yang dirancang bukan sahaja tertumpu kepada aspek ekonomi semata-mata, tetapi turut mengambil kira kesejahteraan sosial, kelestarian alam sekitar serta keperluan generasi akan datang.

“Ini mencerminkan komitmen berterusan dalam membina sebuah Sarawak yang progresif, berdaya tahan dan mampan,” tegas beliau.