KUCHING: Penganjuran Hari Integriti bukan sekadar acara simbolik sebaliknya mencerminkan komitmen berterusan memperkukuh nilai integriti, akauntabiliti dan kecemerlangan Perkhidmatan Awam Sarawak (SCS).
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Profesor Dr. Sim Kui Hian berkata, inisiatif tersebut menjadi manifestasi komitmen bersama penjawat awam dalam memastikan tadbir urus yang telus, berintegriti dan berkesan terus diamalkan.
“Ini bukan sekadar perhimpunan rasmi, tetapi manifestasi komitmen bersama terhadap integriti, akauntabiliti dan kecemerlangan dalam perkhidmatan awam,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Sambutan Hari Integriti Jabatan Pengairan dan Saliran (DID) Sarawak 2026 di sini hari ini.
Majlis yang bertemakan “Teguh Integriti, Cemerlang DID Sarawak” itu merupakan antara usaha berterusan dalam menyokong aspirasi kerajaan negeri untuk mencapai status negeri berintegriti tinggi menjelang 2030.
Jelas Dr Sim, pendekatan Discipline in Execution: Approach (DIEA) yang dilaksanakan di bawah inisiatif PCDS 2030 menjadi pemacu penting dalam memastikan setiap perancangan diterjemahkan kepada pelaksanaan yang berimpak tinggi kepada rakyat.
Tambah beliau, kepercayaan rakyat terhadap kerajaan hanya dapat dipertahankan melalui pentadbiran yang bersih, telus dan bebas daripada salah guna kuasa.
“Tadbir urus yang baik bukan sahaja membanteras rasuah, tetapi juga mengelakkan pembaziran sumber dan pecah amanah,” tegasnya lagi.
Pada majlis sama, DID Sarawak turut menerima dua pensijilan antarabangsa iaitu MS ISO 37001:2016 (Anti-Bribery Management System, ABMS) dan MS ISO 9001:2015 (Quality Management System) yang merangkumi keseluruhan operasi jabatan termasuk 12 Pejabat Bahagian.
Pensijilan tersebut disampaikan Ketua Pegawai Eksekutif SIRIM QAS International Sdn Bhd kepada Pengarah DID Sarawak, Datu Ir. Ts. Ahmad Denney Ahmad Fauzi dan disaksikan Dr. Sim.
