SAMARAHAN: Subsidi diesel di Sabah dan Sarawak diharap dapat dikekalkan bagi memastikan rakyat di kedua-dua negeri tidak terbeban dengan kenaikan kos sara hidup.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata ini kerana penggunaan kenderaan pacuan empat roda (4WD) yang menggunakan diesel adalah tinggi di Sarawak dan Sabah khususnya di kawasan luar bandar termasuk rumah panjang.
“Sekiranya harga diesel dinaikkan, ia akan memberi kesan langsung kepada kehidupan harian rakyat di negeri ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menghadiri Majlis Ramah Mesra anjuran bersama oleh Persatuan Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) Daerah Samarahan, Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Cawangan Samarahan serta Pusat Khidmat P197 Kota Samarahan, di Dewan Suarah Kota Samarahan, hari ini.
Majlis turut dihadiri Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah merangkap Ahli Parlimen Kota Samarahan, Datuk Rubiah Wang.
Abdul Karim sehubungan itu menegaskan keutamaan memastikan kebajikan rakyat di Sarawak terus terpelihara dan tidak terjejas oleh sebarang perubahan dasar berkaitan harga bahan api harga diesel di Sarawak.
Beliau turut menjelaskan, bahawa beberapa sektor di Semenanjung Malaysia yang menggunakan diesel masih menerima pelbagai bentuk subsidi lain, termasuk pengangkutan seperti bas sekolah dan bas awam.
