SIBU: Methodist Pilley Institute (MPI) melakar pencapaian baharu dengan pelancaran Program Diploma Kejururawatan, di sini hari ini.
Majlis tersebut disempurnakan Timbalan Menteri Kesihatan, Dato Hanifah Hajar Taib.
Dalam ucapannya, Hanifah berkata penubuhan program itu tepat pada masanya ketika Malaysia berdepan kekurangan jururawat terlatih.
Menurutnya, permintaan terhadap tenaga kejururawatan semakin meningkat susulan pertambahan populasi warga emas serta peningkatan penyakit tidak berjangkit seperti diabetes dan penyakit jantung.
“Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menyasarkan pengisian kira-kira 15,000 kekosongan jawatan jururawat di hospital awam tahun ini.
“Tanpa penglibatan institusi pendidikan seperti MPI, sistem kesihatan negara sukar untuk kekal kukuh dan berdaya tahan,” katanya.
Beliau turut memuji inisiatif MPI menyediakan program yang mampu milik dan mudah diakses, sekali gus membuka peluang kepada anak Sarawak serta memperkukuh tenaga kerja kesihatan.
Beliau menegaskan kerjasama antara institusi pendidikan dan sektor kesihatan swasta penting dalam memacu pembangunan serta memenuhi keperluan sistem kesihatan awam.
Turut diadakan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara MPI, Rejang Medical Centre (RMC) dan Borneo Medical Centre (BMC).
Kerjasama itu merangkumi tajaan penuh, elaun kepada pelajar serta jaminan peluang pekerjaan selepas tamat pengajian.
