Penduduk Nanga Semah, Kampung Sabena berdepan masalah air, Ahmad Johnie hulurkan bantuan bekalan

SIBU: Seramai 1,114 penduduk di kawasan Nanga Semah dan Kampung Sabena yang terletak di pesisir sungai, termasuk di Klinik Nanga Semah, SK Nanga Semah dan SK Sabena, berdepan kesukaran apabila bekalan air bersih terputus akibat musim kemarau sejak kebelakangan ini.

Prihatin dengan keadaan tersebut, Ahli Parlimen Igan, Ahmad Johnie Zawawi segera menghulurkan bantuan bekalan air bersih berupa air mineral bagi meringankan beban harian penduduk terjejas.

Menurutnya, masyarakat di kawasan pesisir amat bergantung kepada sumber air bersih, dan keadaan kemarau memberi kesan besar terhadap keperluan asas kehidupan.

“Sumbangan bantuan air mineral ini bukan kali pertama dilaksanakan, malah telah beberapa kali disalurkan sebelum ini khususnya ketika musim kemarau,” katanya di sini, hari ini.

Tindakan pantas beliau nyata mendapat penghargaan penduduk yang menyifatkan keprihatinan pemimpin yang dekat di hati rakyat sebagai kekuatan dalam menghadapi cabaran kehidupan, khususnya di kawasan pesisir sungai.