LIMBANG: Penduduk di utara Sarawak perlu terus menghormati peraturan bahan api Brunei bagi kenderaan asing yang memasuki negara itu.
Peraturan itu mewajibkan kenderaan asing mempunyai sekurang-kurangnya tiga suku tangki bahan api, selain hanya dibenarkan membeli bahan api premium pada harga pasaran.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, itu adalah hak negara terbabit dan bertujuan mengawal penggunaan bahan api susulan isu global, selain memastikan bekalan domestik terjamin.
“Ini isu global dan semua negara terjejas, jadi kita perlu hormati keputusan mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri majlis persandingan anak Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak Datuk Dr Abdul Rahman Ismail hari ini.
Beliau menambah, amalan mengisi penuh tangki sebelum memasuki Brunei bukan perkara baharu bagi penduduk di Limbang, Lawas dan Miri.
Pada masa sama, Awang Tengah turut mengingatkan orang ramai agar tidak menyebarkan maklumat tidak sahih yang boleh menjejaskan hubungan dua hala rakyat Sarawak dan Brunei yang baik dan saling memahami.
