MATU: Mini Regata Matu menjadi tarikan utama acara ikonik tahunan, Pesta Matu 2026 yang berlangsung selama lima hari bermula 2 hingga 6 Jun ini.
Acara yang berlangsung pada hari pertama pesta berjaya mencuri perhatian penduduk serta pengunjung menyaksikan perlumbaan perahu yang menjadi antara acara tradisi di kawasan tersebut.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti dan Ombudsman) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jemoreng, Datuk Dr Juanda Jaya menyempurnakan pesta tersebut di Pekan Matu semalam.
Perasmian itu disempurnakan menerusi pelepasan perahu sebagai simbolik bermulanya Pesta Matu 2026 anjuran Pejabat Daerah Matu.
Beliau turut melawat gerai-gerai jualan dan gerai komuniti membabitkan sebanyak 105 lot jualan.
Juanda turut merasmikan Penyerahan Kiosk Majlis Daerah Matu dan Daro (MDMD), di bawah Program MyKiosk@KPKT kepada empat peniaga di Dataran Kampung Tian, Matu.
