Syarikat pemula Sarawak boleh mohon sertai TPAB 2026

KUCHING: Tabung Ekonomi Gagasan Anak Sarawak (TEGAS) kini membuka permohonan menyertai program TEGAS Pre-Accelerator Bootcamp (TPAB) 2026 (Kohort 8) kepada syarikat pemula dari Sarawak.

Menurut kenyataan TEGAS, program intensif itu melengkapkan syarikat pemula peringkat awal dengan kemahiran kritikal, pengetahuan serta bimbingan diperlukan.

Program itu akan diadakan dengan kerjasama Growth Through Innovation di TEGAS Digital Village, di sini mulai 6 hingga 10 Julai depan.

Peserta akan memanfaatkan Generative AI bagi pengesahan masalah secara pantas, memperoleh kemahiran pemasaran digital untuk mendapatkan pelanggan.

Selain itu, ia turut meraih pengalaman praktikal dalam pembangunan produk dengan membina Minimum Viable Products (MVP) menggunakan prototaip pantas dan kaedah tanpa kod “Vibe Coding”.

“Laluan pembelajaran perniagaan turut merangkumi pemahaman kewangan startup, jangkaan pelabur, serta pembangunan pitch deck berasaskan data, sebelum melalui sesi latihan pembentangan yang intensif.

“Pengasas akan membuat pembentangan secara langsung kepada pelabur, rakan korporat dan mentor,” kata kenyataan itu.

Sementara itu Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Sarawak merangkap Pengerusi TEGAS, Datuk Len Talif Salleh berkata, TPAB 2026 mencerminkan komitmen berterusan mereka dalam memperkasa belia dan usahawan di seluruh Sarawak.

“Inisiatif ini bukan sekadar melahirkan startup, malah bertujuan membentuk generasi baharu pemikir berani.

“Selain itu, ia juga sebagai penyelesai masalah yang mampu memberi impak sebenar kepada komuniti serta menyokong aspirasi negeri ke arah ekonomi digital yang makmur dan inklusif menjelang 2030,” katanya.

Permohonan bagi kohort 2026 yang kini dibuka akan ditutup pada 15 Jun ini dan individu yang berminat boleh mendaftar di bit.ly/TPAB2026.