KUCHING: Keputusan mengadakan pilihan raya negeri (PRN) Sarawak hanya boleh ditentukan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, kata Ketua Penerangan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah.
Abdul Karim yang juga Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan berkata, walaupun terdapat pelbagai spekulasi termasuk kemungkinan PRN Sarawak diadakan dalam tempoh sekitar 100 hari, keputusan muktamad mengenainya hanya boleh ditentukan oleh Premier Sarawak.
yang mempunyai kuasa untuk memohon pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN), katanya pada sidang media di sini hari ini.
“Saya hanya dapat mengatakan di sini bahawa individu yang kemungkinan dapat memberitahu bila secara kasar tarikh PRN Sarawak akan diadakan ialah Premier Sarawak kerana beliau mempunyai prerogatif dan budi bicara untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri.
“Tapi kita tidak perlu risau sangat kerana saya rasa di peringkat GPS ataupun di peringkat pembangkang, semua sudah maklum PRN perlu diadakan pada masa yang terdekat iaitu tahun ini memandangkan penggal Dewan Undangan Negeri Sarawak akan berakhir pada penghujung tahun ini,” katanya.
Menurutnya, perkara itu bukan lagi satu rahsia memandangkan semua pihak sedia maklum mengenai keperluan untuk mengadakan pilihan raya dalam tempoh yang ditetapkan.
Abdul Karim berkata, perkembangan politik semasa di beberapa negeri di Semenanjung Malaysia juga merupakan antara perkara yang boleh diperhatikan dalam menentukan jadual pilihan raya pada masa akan datang.
Menyentuh perkara lain, beliau berkata cadangan penambahan 17 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak yang diluluskan DUN Sarawak masih menunggu kelulusan di peringkat Persekutuan sebelum dapat dilaksanakan.
Katanya, usul berhubung cadangan tersebut telah dibentangkan dan mendapat sokongan DUN Sarawak kira-kira setahun lalu.
Menurut beliau, cadangan itu melibatkan pertambahan kerusi DUN Sarawak daripada 82 kepada 99 kerusi bagi memenuhi keperluan semasa negeri.
“Dalam Perlembagaan Malaysia, penentuan sempadan hanya boleh dilakukan selepas lapan tahun dan kita telah melepasi tempoh itu,” katanya dan menambah, cadangan itu hanya melibatkan pertambahan kerusi DUN Sarawak dan tidak melibatkan kerusi Parlimen.
