KUCHING: Kerajaan menubuhkan ‘war room’ di peringkat Persekutuan bagi memastikan langkah proaktif diambil berikutan situasi geopolitik semasa di Asia Barat.
Timbalan Perdana Menteri Malaysia,Datuk Amar Fadillah Yusof berkata, kerajaan sentiasa memantau perkembangan semasa melalui mesyuarat berkala termasuk penubuhan ‘war room’ di peringkat Persekutuan serta sesi libat urus bersama kerajaan negeri.
Beliau berkata demikian ketika Majlis Jalinan Kasih Aidilfitri 2026 Kampung Semariang Batu di sini, hari ini.
Menurut Fadillah, konflik melibatkan beberapa kuasa besar di rantau tersebut berpotensi memberi kesan langsung kepada ekonomi global termasuk Malaysia, khususnya sektor bekalan tenaga seperti minyak dan gas.
“Gangguan terhadap rantaian bekalan minyak dunia boleh menyebabkan kenaikan harga bahan api, seterusnya meningkatkan kos logistik dan harga barangan import,” jelasnya.
Sehubungan itu, beliau mengingatkan rakyat supaya mengamalkan sikap berjimat cermat dalam penggunaan tenaga sebagai langkah awal menghadapi kemungkinan krisis bekalan.
Dalam masa sama, Fadillah menasihati orang ramai agar tidak panik, sebaliknya terus bekerjasama dengan kerajaan dalam menghadapi sebarang kemungkinan.
