PALOH: Rancangan pembinaan jalan yang bakal menghubungkan Paloh ke Tanjung Manis dilihat sebagai pemangkin dalam merancakkan pembangunan kawasan serta meningkatkan taraf hidup penduduk.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS), Datuk Abdullah Saidol berkata, projek berimpak tinggi itu bakal membawa perubahan khususnya dari segi akses, ekonomi dan kesejahteraan kepada kehidupan penduduk di Kampung Paloh, Kedang dan Berangan.
“Ini bukan sekadar perancangan di atas kertas, tetapi satu projek yang akan membawa seribu manfaat kepada rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Ramah Tamah Aidilfitri N.42 Semop di Kampung Paloh dan Kedang yang turit dihadiri Ahli Parlimen Tanjong Manis, Dato Ir Yusuf Abd Wahab semalam.
Abdullah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semop menambah, projek sepanjang kira-kira 26 kilometer (km) itu melibatkan pembinaan jalan raya serta sebuah jambatan merentasi Sungai Batang Belawai.
Projek itu membabitkan kos keseluruhan dianggarkan hampir RM800 juta melalui peruntukan Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sarawak.
Jelas beliau, projek berkenaan merupakan antara agenda utama yang diperjuangkan bagi memastikan kawasan terbabit dihubungkan dengan jaringan jalan raya yang sempurna, setanding dengan pembangunan di kawasan lain.
