KUCHING: Seramai 900 peserta termasuk dari luar negara menyertai Sapphire Run Bersama Komuniti Lembaga Pembangunan dan Lindungan Tanah (LCDA) di Padang Merdeka , di sini, hari ini.
Acara itu merupakan julung kali diadakan sempena ulang tahun ke-45 LCDA.
Pelepasan peserta larian dilakukan Timbalan Menteri Perancangan Bandar Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Kementerian Sumber Asli dan Pembangunan Bandar, Datuk Len Talif Salleh mewakili Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.
Dua kategori dipertandingkan iaitu 4.5 kilometer (km) dan 10 km dengan hadiah terkumpul bernilai RM10,000 bagi memupuk semangat kesukanan yang berfungsi sebagai platform menyatukan komuniti dalam suasana yang sihat, positif dan inklusif.
Selaras dengan peranan LCDA dalam pembangunan tanah dan sosioekonomi, pelaksanaan program seumpama ini mencerminkan komitmen berterusan agensi dalam memastikan aspek kesejahteraan komuniti diberi keutamaan.
LCDA berharap agar larian ini terus dianjurkan pada masa hadapan sebagai platform mengeratkan hubungan, memupuk perpaduan serta membudayakan amalan hidup sihat dalam kalangan masyarakat.
Turut hadir Pengurus Besar LCDA Datu Dr Zaidi Mahdi, Setiausaha Tetap Kementerian Sumber Asli & Pembangunan Bandar, Datu Abdullah Julaihi dan Datuk Bandar Kuching Utara(DBKU) Dato Hilmy Othman.
